January 7, 2015

あけましておめでとうございます

Happy New Year


Selamat Tahun Baru.. Bahru? Bharu?? Baharu??
Ok anyway.. tadi dapat mesej dari encik kidal katanya tak balik makan malam kat rumah sebab nak keluar makan dengan geng surau. So mari laju-laju update blog sebagai memori.

Kalau tahun lepas cuti thaun baru 1st January tu kitaorg pergi outlet di Kobe cari fukubukuro. Fukubukuro ni macam luckybag gitu. 
Contoh kita pergi butik jual baju. Butik ni akan tag harga luckybag dia 10ribu yen satu. So, randomly  kita ambil satu bag dan bayar harga 10ribu yen... dah bayar..apa lagi.. bukak luckybag tu and tengok apa yang kita dapat..kalau suka.. maka lucky lah..kalau tak suka nasib lah labi...
Masa ni duit memang keluar laju macam air deras. sebab satu jepun akan ada fukubukuro ni... tapi di sebab kan kitaorng adalah penganggur terhormat jadi tak mampu lah nak berfukubukuro lagi tahun ni... 
(T...T)

Tahun ni kitaorg spend time cuti new year tu ala kadar je. Sambutan new year di penuhi dengan acara makan-makan..

Ritual menyambut tahun baru bermula pada malam 31 December..kalau ikutkan tradisi, orang Jepun akan makan toshikoshi soba pada malam sebelum tahun baru. 
Soba ni katanya baik untuk mengurangkan tekanan darah tinggi dan kolesterol.. 
patut la nenek-nenek jepun sihat-sihat blako. sebab nya selalu yang makan soba ni orang tua-tua je..Kitaorng pun semangat la nak pegi makan soba tu..

So malam tu kitaorg gerak ke kedai soba dengan sebijik kereta ja. 6 dewasa 5 kanak-kanak. Lain-lain mat melayu ada hal. Tak boleh join... sampai la ke kedai yang di beri nama Soba Kichi.. lebih kurang gitu la nama nya.. i tak pandai baca kanji.. dengar encik kidal cakap macam tu..

Cantik kedai ni..masa sampai tu parking full. 
Masuk dalam kena beratur tunggu ada table kosong. Mujor lah orang jepun ni style makan cepat-cepat pastu cepat-cepat beredar.. tak de la nak tunggu lepak-lepak jap ke ape ke kan.. memang bukan style diaorg la.. 
After 10 minutes dapat la 3 table untuk kitaorg..tapi rasa mcm tak best pulak bila dok asing-asing tu. Tak leh nak nyembang-nyembang. So kitaorg ambil 2 table je. Biar la himpit-himpit baru meriah..

Bila dah duduk alangkah hampa nya bila kitaorg dapat tau yang toshikoshi soba tu dah habis..laaa kata kedai soba.. patut soba limited edition macam ni kena standby la stok bebanyak kan.. sedih bila kenang kan peristiwa ni... sebab dalam hujan tu kitaorg redah datang nak makan soba tu. Tetiba tak de plak kan..
Maka kitaorg order la menu biasa..soba la jugak cuma bukan soba limited edition hat panjang-panjang tu..



Muka encik kidal happy jer sebab soba menimbun depan mata. Sebelah tu kakak Iman (3thn) dok jeling-jeling tengok makanan sedap abang afuang..dalam pala otak mesti dok ligat pikir macam mana nak saiko abg afuang..


Ni i punya order. Punya lah banyak.. price no bad dalam 1000yen je. Ada soba dengan sup panas. Soba sejuk cicah sos soya. Pastu ada tempura dan nasi kepal...memang kenyang la..lepas makan ni rasa sihat je..tetiba rasa kolestrol dalam badan berkurangan..(^_^)


 Cik darwisya kita..umur 1tahun ++.. adik darwisya ni kalau nak ambil gambar dia memang malu. Tapi bila selfie pandai pulak dia senyum tengok camera..Darwisya..Darwisya..


Makan dengan lahapnya..licin macam kena makan dengan piranha..puas hati makan kat sini..


Ni pase pa encik kidal muka macam tak pueh hati plak..


 Adik darwisya dengan ibu.. kak shytah.. kakak ni ngaji koran sedap i tell you.. sebutan dia macm ornag arab je..kalau i yang baca sah-sah org tau ni melayu piauww...tengok tu adik darwisya memang suka selfie..


Lagi satu pasal kedai ni lampu dia semua lampu romantik..lampu kuning2 malap ..memang rasa waaa, relax nya .. tapi  bila tangkap gambo jenuh nak kna ngejas..last-last pasrah je la asal kan muka orang nampak jelas mana hidung mana mata ...

Ala ada lagi satu famili.. famili zaini n kak ton.. tak de dalam ni.. sebab diaorg table lain..maybe next time boleh feature diaorg dlam blog ni..

All in all, walaupun tak dapat makan soba limited edition, still boleh happy sebab dapat kumpul ramai-ramai macam ni. At least kita tahu semuanya dalam keadaan sihat sejahtera..

Tak habis lagi citer sambutan tahun baru..tunggu next entry.. dah panjang berjela rasa nya ni...


あけまして おめでとう ございます
Akemashite Omedetou Gozaimasu

...........(n_n).........





December 26, 2014

Resepi Kek lobak...untuk rujukan masa hadapan..






Hari ni nak share resepi carrot cake yang sedap dan mudah untuk di buat. Berdasarkan dari pengalamn, lelaki memang suka carrot cake ni. Papa saya suka, suami suka, anak-anak buah pun ada yang gila dengan kek ni..tak sure la apa sebabnya. Mungkin sebab ada rasa rempah dalam kek ni agaknya. Bau yang lebih maskulin..berbeza dengan kek vanilla or cchocolate kan rasanya sweet sweet jer. Saya pun suka carrot cake ni...sebabnya kek ni tengok luar memang tak menarik. Plain je rupa. Tapi rasa dalam dia.. MasyaAllah punyalah berperisa...rasa manis masam dan berempah semua cukup.

Pertama kali buat kek ni saya belajar dari mak saya. Tup tup bila tengok dia buat.. laaa..senang yang amat nak buatnyer. Pejam mata pon boleh..*ahaks*.. 

Peralatan pun senang sangat tak perlu mixer tak perlu blender tak perlu food processor. 

Bahan-bahan pun tak renyah. Boleh di katakan kat rumah ni memang sentiasa ada stok bahan-bahan untuk buat kek ni..
Ateeerr teman pon apa lagi bertambah-tambah la jatuh hati dengan kek ni...

Jom tengok bahan-bahannya

Bahan-bahan:
1 1/2 cup gula
1 cup minyak sayur
3 biji telur
1 tsp Vanilla extract
2 cup tepung gandum (diayak)
2 tsp serbuk kulit kayu manis
1 tsp baking powder
1/2 garam
2 cup lobak (disagat/parut)
1/2 cup kismis/kurma/nenas (ikut selera) ~dicincang halus

Cara-cara
1) Panaskan oven 170 darjah. Sapu permukaan dalam loyang dengan mentega atau lemak sayur
2) Sagat lobak dan cincang kismis
2) Kemudian dalam mixing bowl besar masukkan gula, minyak, telur dan vanila. 
3) Dalam bekas asing, gaul sebati tepung,serbuk kulit kayu manis, baking powder dan garam
4) Masukkan adunan tepung ke dalam mixing bowl. Gaul.sehingga.sebati.SAHAJA
5) Masukkan lobak dan kismis. Gaul sehingga sebati
6) Tuang dalam loyang bulat 8inci 
9) Bakar pada suhu 170 darjah selama 40 minit atau sehingga masak


Tips 1 *** lepas masuk tepung jagan kacau terlalu lama. Nanti tekstur kek jadi liat macam roti*** 

Kalau tak percaya boleh cuba buat..
Ni cakap berdasarkan pengalaman... (-_-!)

Tips 2 ***kalau pakai loyang berlainan dari arahan di atas, please be aware that your baking time will also change yerrr..sebab ketebalan dah berubah. Lagi tebal adunan lagi makan masa nak bake** 

Biasa kalau buat untuk jamu tetamu, saya guna loyang patsegi yang biasa orang buat kuih seri muka atau kuih talam tu.Nanti boleh potong patsegi bite size supaya senang orang nak makan..tak yah terkial-kial diaorang nak pikior cam mana nk potong kek ni..huhu

Tips 3 ***Kerak di tepi-tepi tu kita potong buang..buang masuk dalam mulut sendiri..aummm....tak tahan ok bau kulit kayu manis  tu yang maskulin menggoda rongga hidung ni...**


Jennnggg.. 

Kek dalam gambar di atas tu saya buat untuk Takoyaki Party rumah kak Shytah. Saya siram atas kek tu dengan butterscotch sauce tapi lepas tu dia membeku sebab cuaca sejuk dalam rumah..huhu..letak kek tu dalam bekas bertutup dan wrap dengan furoshiki.. kain patsegi  multifungsi... 

off we go ...



Haaa...Senang kan..sape kata tak de mixer tak boleh buat kek???
Ni hah...kek ni tak perlukan mixer, tak perlu food processor atau blender ..
Hanya perlukan kerajinan jer...

~~~Allah Bless you~~~ 















December 24, 2014

Solstis musim salju


2 hari lepas dengan secara rasminya telah masuknya musim salju. Maka bermula lah malam yang panjang dan siang yang pendek. Fenomena ni dipanggil solstis musim salju atau dalam bahasa omputihnya winter solstice... lagi sedap sebut dalam bahasa omputih kan?? ......(n_n)....

Ada beberapa ritual yang orang jepun amalkan pada hari winter solstice. Info ni saya dapat dari newsletter tempatan yang di cetak khas untuk orang asing yang tak faham bahasa jepun..macam saya la tu..

 Antaranya adalah berendam dalam tab mandi dengan segerombolan `yuzu` sejenis limau jepun...patut lah masa pegi pasar pagi tu banyak je yuzu. murah-murah pulak tu. Selalu boleh tahan gak harganya. Rupanya ini la sebabnya....owh..gambar di bawah credit to flickr. I do not own this photo...

ゆずゆ Yuzu bath

Kemudian ada yang makan makanan berasas kan labu. Semua ritual ni di katakan dapat mengelakkan dari terkena selsema sepanjang musim sejuk.. Ada ke kajian saintifik ke atas apa yang diaornag claim ni? Sama sekali tiada..ilek... tapi kalau diberi peluang untuk  berendam dengan beribu-ribu lemon tu, i on jer.. berendam dalam air suam-suam kuku dengan bau-bauan citrus...uii, relaks nya..lepas mandi mesti segar bugar.. 


Bagi orang Islam seperti kita ni apa signifikannya fenomenan alam ni??

``Dan satu tanda (kebesaran Allah) bagi mereka adalah malam; Kami hilangkan siang daripada (malam) itu, maka seketika itu mereka berada dalam kegelapan``
Surah Yasin: Ayat 37


~~~~^^ God bless you ^^~~~




















December 22, 2014

Hadiah Hujung Tahun

Bulan Disember tahun lepas dok tengok jer orang-orang Jepun ni dok kalut bagi hadiah sana sini. Tahun ni tepat pada bulan yg sama, bulan disember, perkara yang sama jadi. Bezanya tahun ni saya turut terima hadiah. . Apa motif hadiah ni tak dapat dipastikan. Apa yang pastinya memang ada perasaan segan. Sebab apa...sebabnya orang bagi hadiah kat kita tapi kita tak bersedia apa pun untuk balas hadiah orang pada masa tu.. 

Apa-apa pun rasa happy & excited jugak kan bila dah dapat hadiah ni. Bila nak bukak bungkusan tu lain macam jer feeling. Seriously speaking, seumur hidup boleh kira la berapa kali jer dapat hadiah yang bungkus dengan fancy wrapper ni. Eh, ka tak pernah dapat pun.....*siannyer*.. (T_T)


Hadiah dari cikgu. Coklat ala-ala Crunchie..sedap sangat sebab lama dah tak makan crunchie..bungkusan pun nampak menarik. Kalau perasan orang Jepun bungkus hadiah lain macam sikit. tak nampak pun lipatan 3 segi kat tepi tu.  Semuanya selari dengan keempat-empat bucu kan...


Hadiah dari Akemi san. Isi dalam adalah purse istimewa. Purse ni di pakai semasa pakai kimono. Bila pakai kimono perlukan purse khas yang nipis supaya boleh disemat di celahan lipatan kimono tanpa kelihatan bonjolan pelik...menarik...Saya memang tak pakai kimono. tapi tak pa. Purse tu boleh pakai untuk simpan kupon diskaun atau voucher..jaaannnggg...(>w<)


Tanya kat Akemi san tu apa motif hadiah ni...
orang bagi hadiah pun sibuk nak tau motifkan.....(~-~)....
Katanya sempena Krismas.
Walaupun Akemi san bukan Christian tapi tulah caranya di sini. Orang Jepun sambut Krismas antara pasangan kekasih dan kawan-kawan bukan sesama famili. Krismas di Jepun terlalu komersil. Bukan perayaan berunsurkan spiritual seperti di Malaysia. Tiada istilah di awal pagi 25hb tu pergi gereja dengar `khutbah` dan berkumpul sama saudara mara sepanjang hari. 
Kat sini malam Christmas eve tu pasangan kekasih akan meraikan dengan hidangan tradisi iaitu sebiji kek dan minuman alkohol. Lepas tu diaorg akan bertukar-tukar hadiah. Pada 25hb tu masing-masing menjalani kehidupan seperti sedia kala... yang sekolah akan ke sekolah yang kerja akan bekerja. Tiada sebarang acara istimewa...dan bukan juga cuti umum..oh kasihan...
Tapi bagi surirumah seperti saya ni cuti atau tak memang tak de kesan..hari-hari adalah hari `bekerja` bagi saya...



Alhamdulillah 
God bless you 
&
 Wishing all Christians A Merry Christmas... 






December 16, 2014

Tsukurimashou!!!! Mitarashi Dango

Hari ni mari kita belajar buat sejenis kuih tradisional Jepun.Dango. Resepi ni dipelajari dari seorang kenalan Jepun Aiko-san dangan bantuan penterjemah Mbak Nia.

 Teksturnya seakan kuih onde-onde gula melaka kita tu. Liat-liat tapi tak lah seliat mochi. Senang di sediakan untuk minum petang. Lagi satu menyihatkan. Sebab apa sebab dia rebus je. Tak goreng. Tiap kali saya makan kuih ni saya dok terbayang jer badan slim, sihat dan kulit jadi licin mulus macam dango ni..

Macam-macam jenis dango ni. Ada yang  di selaputi sirap (Mitarashi dango), kacang merah (Anko dango), serbuk soya (Kinako dango).

Tapi arini saya kongsikan resepi dango sirap. sebab apa dango sirap??? sebab bahan-bahannya yang minimum. Bahan utama adalah tepung dango dan tofu..TOOFUUUU.. Owh sgt sihat....

Resepi ni ada dua bahagian. 1) Adunan dango, 2) Sirup 


Tsukurimashou!!!


1) Adunan Dango
1/2 cawan tepung dango*
1/4 cawan tofu kental
2 sudu besar gula**
*boleh ganti dengan tepung pulut
** Resepi tradisional tak de gula. Tak sesuai la dengan tekak anak malaysia. So jom  kita tambah sikit.



Tu dia siap sukat bahan-bahan nya.. senang je kan bahan-bahan nya. Bahan-bahan ni memang sentiasa ada dalam kabinet dapur tu dah..


 Lepas tu adunan di uli-uli sehingga licin macam bontot baby.. halus mulus gebus.. ni tak gebus sangat ni nampak macam doh kering sikit. Next time jadi macam ni tambah tofu sikit je lagi bagi balance.


Lepas tu cubit sikit-sikit uli bagi jadi bebola . Kalau nak bagi warna-warni bahagi je dough tu then titik-titik pewarna ke dough tu. Uli sehingga warna sekata. Kali ni buat dua warna. putih dan hijau..kalau ada anak kecik buat bagi macam-macam warna. baru diaorg berselera kan. 



Last sekali rebus je semua bebola ni. 

Bebola ni akan timbul. Lepas timbul tu biarkan 1-2minit. Then,angkat, tos kan bagi air kering dan ketepikan seketika.

Jom buat sirap pulak.


2) Sirap
1 cawan air
1/4 cawan gula kasar
2 sudu besar kicap cair Jepun (shouyu)*
1 sudu besar tepung ubi

 *rasa kicap sini tak sama dengan kicap cair malaysia. So boleh je la ganti dengan vanilla esen bg ada bau sikit...atau tinggalkan je..


Campur kesemua bahan-bahan dalam periuk dan panaskan atas dapur dengan api serdahana. Masa ni pastikan sentiasa di kacau...Jangan alih kan pandangan sikit pon dari dapur... masak sehingga sirap tu  jadi kental-kental dan bertali gitu..siap sirap tu terus celupkan je bebola tadi... kalau saya akan cucuk je ke lidi..senang nak celup sirap...



Kecik beso semua ada bebola tu. cucuk pun tak berapa nak center. Tak pe janji boleh telan.. laki bini makan selamat..
tak de yang tercekik..

Siap boleh di hidang untuk minum petang.. serbuk tu adalah serbuk kacang soya. nak makan dango boleh cicah dengan serbuk tu... rasa serbuk tu sama seakan-akan serbuk kacang hijau jer...tiba-tiba teringat kuih abuk-abuk...oii, suka tau ngidam hat eksotik.. 

Haik !!! Dekimashitak 



@@@@ (>-<)@@@@




Kembara Halal Jepun

Dah boleh nampak labah-labah keluar dari blog ni. Kalau di tengokkan dari pola nya, blog ni mungkin hanya akan di update bila tiba musim sejuk. Bila cuaca tak mengizinkan untuk kita keluar ber jogging sebab sejuk, bila cuaca terlalu ekstrem untuk kayuh-kayuh basikal ke atau terlalu sejuk untuk lepak kat luar sambil wat kerja-kerja berkebun di kebun bunga yang luas sedepa tu..

Tapi seriously i bz u dengan kerja-kerja seharian. Sekarang ni boleh di katakan tiap-tiap hari nak kena keluar rumah untuk appointment. Dengan kelas bahasa jepun,kelas ngajor bahasa inggeris, usrah. Belum lagi kerja-kerja merewang kot ada orang yang nak buat makan-makan ke kan..

 Haaa.. lepas tu ditambah pulak dengan join venture bisnes pelancongan secara kecil-kecilan ni. Bermula dari tahun ni saya dan bisnes partner a.k.a my soulmate ada menyediakan perkhidmatan pemandu pelancongan di Jepun ni. Jadi siapa-siapa yang berminat nak mendapatkan perkhidmatan kitaorg boleh contact je kat blog ni or contact via facebook Kembara Halal Jepun di sini
Senang kalau jalan-jalan ada pemandu pelancong ni. Soal makan,tempat penginapan dan transport dah settle. Perkhidmatan ni di datangi khas dengan translator. So kalau jalan-jalan tu nak berkomunikasi dengan penduduk setempat atau dengan pekedai jadi bertambah senang. Tak de la macam itik dengan ayam kan... 

Oh btw, baru-baru ni memang ada lovely couple dari Damansara yang mendapatkan perkhidmatan kitaorg. Diaorg datang pun memang tepat pada masa nya. Bulan Novenber lepas. Masa tu musim luruh memang di kemuncaknya. Pemandangan keliling memang sangat cantik..

Semerah daun momiji..eh betul ke momiji tu..tak sure plak macam bukan jer..


Kinkakuji.`kin` tu maksudnya emas dalam bahasa jepun. nampak tak bangunan tu keemas-emasan. 


Ni entrance kinkakuji tu.Seronok la tengok pokok daun-daun merah nih.. rasa macam nak bawa balik tanam kat rumah di malaysia tu.. nanti warna-warni pokok kat rumah i... 


Osaka castle.. sini lagi satu spot yang sangat cantik. Sepanjang jalan di penuhi daun-daun pokok ginko warna golden... nak buat wedding shoot pun bagus di sini




Boleh sewa costume traditional dengan harga lebih kurang 500yen. Pakai lah sepanjang hari. Dah puas bergambar dah peluh lenjun baru return.. ahaks..Dengan suhu macam ni tak de  nyer nak peluh aih..


Pemandangan dari Osaka castle. Ni tak de pakai filter ke atau apa. 




Bangunan Osaka Castle.. ni baru momiji..


Noritake garden ni ada outlet. Boleh beli pinggan mangkuk Noritake yang dah pupus di pasaran atau yang masih panas-panas keluar dari oven.
Noritake garden

Plan asalnya kembara ni sekitar Kansai; Kobe, Kyoto dan Osaka. Tapi sebab pakcik dan makcik ni request nak ke Nagoya maka kami pun bawaklah lovely couple ni sampai ke nagoya. Tu dia, punya lah selesa dan senang kan kalau jalan-jalan dengan Kembara Halal Jepun Syahrial Travel ni..


Banyak lagi gambar-gambar. Tunggu lah bila gagah nak di upload kan.. (^n^)  
Next time up pulak cerita kembara ke Kyoto bersama-sama teman Muslim di Ehime ni. Kembara ke kyoto tu sehari je sebelum kitaorang buat bisnestrip bawak couple pakcik makcik ni..


See kan i dah kata im very busy... busy bee me..


Have a nice day!!!!







January 31, 2014

Tea Ceremony

 Hampir dua minggu tak update blog. Sibuk sangat lah kononnya. Hari ini pun kami laki bini bakal menerima tetamu teman dari Indonesia. Sebetulnya dia adalah jiran kami di sini. Tapi oleh kerana bini dia baru sahaja sampai dari Indonesia maka kami mengambil kesempatan untuk suai kenal. 

 Curi-curi masa sedikit untuk update blog. Ada peristiwa penting yang perlu didoumentasikan. Hari Rabu minggu lepas saya telah menghadiri demo `tea ceremony` atau acara mengeteh. Ini merupakan  lawatan sambil belajar anjuran kelas Kebudayan Jepun yang saya sertai. Rombongan terdiri dari seorang sensei (cikgu) dan hampir 10 pelajar antarabangsa. Jika dulu acara teh ini hanya di amalkan oleh golongan samurai. Tujuannya adalah untuk mengumpul tenaga dan fokus terhadap peperangan yang bakal dihadapi. Tetapi kemudiannya upacara ini telah menjadi satu amalan atau kemahiran yang perlu diketahui sebelum seseorang wanita itu berkahwin. Bermaksud ini adalah salah satu pra syarat kahwin!!

 Kami di bawa ke tempat mengeteh. Sebuah rumah dalam perkarangan tapak istana lama yang di bina khas oleh pihak majlis perbandaran bagi tujuan `tea ceremony`. Tetamu perlu masuk ke bilik mengeteh melalui satu pintu kecil. Tujuan melalui pintu kecil ini adalah untuk mengingatkan kita supaya sentiasa merendah diri semasa dalam majlis ini. Pintunya kecil sehingga nak masuk pun perlu duduk seperti kita duduk di antara dua sujud dalam solat. Kemudian tunduk untuk merendahkan lagi badan dan kepala sambil kedua-dua tangan di lantai menolak badan untuk bergerak ke hadapan. MasyaAllah susahnya nak masuk mengeteh. Saya dan teman dari Peranchis merelakan diri untuk masuk melalui pintu hadapan yang terletak 50m kehadapan. Pintunya lebih sesuai untuk saiz badan kami yang bukan saiz biasa ini.

 Majlis dimulakan dengan upacara memakan manisan. Kemudian tuan rumah akan membancuh teh hijau dan menghidangkan minuman teh hijau tanpa gula. Gerak geri dalam penyedian teh dan sewaktu menghidang teh seperti telah di kareografi. Ada lentok dan langkah-langkah harus di ikuti dengan tertib. Si peminum pun ada adab dan tertibnya. Penyabarnya orang Jepun ini.  

 Perlu diingatkan semasa di dalam bilik mengeteh kita perlu memberi sepenuh konsentrasi pada teh itu sendiri. perbincangan berbaur politik dan ekonomi ditegah sama sekali. Ini bagi memelihara suasana tenang dan aman di dalam bilik mengeteh. Fuh, kalau di Malaysia perkara pertama yang di bincangkan semasa mengeteh mestilah politik. Dari tenang terus jadi tertekan. Alangkah bagusnya kalau kita mengamalkan prinsip yang sama sewaktu mengeteh sesama ahli kerluarga dan kawan.



Model perkarangan tapak istana lama

3 buah kolam ini adalah model yang dipercayai  ruang bilik perempuan simpanan maharaja dahulu kala. Macam berjiran pulak.


Upacara mengeteh. Hat mat saleh tu sensei saya bersama 3 lovely lady
Taman ini turut di kenali sebagai ` Sarang Kekasih`??? Semasa proses eskavasi di tapak ini, ahli arkeologi menemui syiling yang di ukir nama seorang lelaki Rusia dan wanita Jepun. Di percayai lelaki Rusia ini adalah tahanan perang dan wanita tersebut adalah  sepaasang kekasih.

Secret hiding place of the Emporer. Not so secret dah la..

Akhir lawatan kami menerima limau mandarin percuma. Ehime terkenal dengan negeri pengeluar buah limau mandrin.


Baru teringat hari ini adalah Tahun Baru Cina di Malaysia. Selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada semua sahabat.

~~ Be sure you know that the tea ceremony , in essence is nothing but to boil water, 
make tea and drink it.~~

January 8, 2014

Tahun Baru Lembaran Baru

 Pejam celik pejam celik dah masuk tahun baru. Musim bersilih musim. Last update masa musim panas. Sekarang dah masuk musim sejuk. Baru sekarang berkesempatan nak update blog. Kalau sebelum ini suami saja yang berkerajinan update blog tapi Insyallah tahun ni saya akan meneruskan legasi suami nih. Maklumlah kehangatan bergelar student dah mula terasa. Banyak masa di habiskan di lab. Secara tidak langsung masa si bini di rumah pulak jadi bertambah senggang. (nak yeay ka atau no yeay ka??!!)

 Alhamdulillah, tahun lepas hajat dan doa yang satu nih di makbul Ilahi. Hajat untuk merasai kehidupan di negara orang. Memang dah lama berdoa. Bermula dari mak su yang pernah tinggal di UK. Kemudian kak chaq ( kakak sulong) pulak berpeluang melanjutkan pelajaran ke tempat yang sama. Dua generasi dah berlalu. Lama berdoa. Berdoa mintak nak merasa tinggal di oversea. Dalam kepala otak membayangkan negara barat macam UK ka US ka kan. Tapi mungkin akibat keralatan ketika berdoa atau doa tak lengkap dapat sampai ke negara atas sikit ja dari Sabah. Alhamdulillah dapat la jugak merasa tinggal di oversea kan. Itu la, lain kali nak berdoa kena fokus. Biar lengkap. Biar pnjang berjela-jela menggunakan bahasa puitis. Tapi jangan ringkas. Di khuatiri seperti tak ikhlas. Nak berdoa perlukan keikhlasan dan penuh dengan rasa merendah diri. Insyallah di makbulkan. Kalau tak di makbulkan sekarang mungkin nanti. Kalau bukan nanti di dunia mungkin jugak nanti di akhirat..nasihat pada diri sendiri dan korang yang membaca jurnal nih; stay calm and keep on praying:)

 Dalam kesempatan ini jugak nak ucapkan Selamat Tahun Baru 2014. Kalau di Jepun perkiraan tahunnya lain sikit. Nanti saya update ok.(>_<)

 Semoga tahun ini mebawa khabar gembira. Sama-sama kita doakan ibu bapa kita berada dalam keadaan sihat, sahabat yang masih belum berpasangan akan bertemu jodoh (pada tahun ini!!!), yang sudah bertemu jodah tapi belum di kurniakn cahaya mata  mohon agar bakal mendapat zuriat, yang masih mncari pkerjaan di kurniakan kerja idaman dan sama-sama memohon keampunan Ilahi. Amin..


Pertama kali berkunjung ke Tokyo masa musim panas lepas. Suami seolah memahami yang bini dia memang tidak berminat sangat dengan kehidupan kota metropolis.  Suami bawa ke tempat yang cantik ni di Odaiba. Bandar dalam pulau kecil. Dah nama pun bercuti. Mesti la kita nak ke tempat yang mendamaikan:) 
  Ok gambar di atas macam tak kena ja dengan entri ni. Tapi ceq cuma nak habaq tahun lepas adalah tahun dream come true. Merantau, berjalan dan bekerja sebagai suri rumah sepenuh masa (>=<)

 P/S: Macam tahun-tahun sebelum ni saya memang tidak pernah memasang azam baru. Saya berazam ingin menjadikan hari ini hari yang lebih baik dari semalam:) dan berharap di kurniakan kudrat untuk update blog dan berkongsi pengalaman dengan you all.

Akemashite omedetou gozaimasu.
Happy new year.

xoxo





June 30, 2013

Yomiuri Shinbun

Assalamualaikum wrt. wbt.

Lama saya tidak mengemaskini jurnal ini. Kesibukan di lab sepanjang minggu lalu sedikit sebanyak menyekat pergerakan saya untuk berkongsi cerita dengan rakan-rakan. Sebenarnya banyak juga aktiviti yang saya dan isteri lalui dari hari Ahad minggu lepas sehingga semalam.

Pada hari Isnin yang lalu, kami mengadakan jamuan house warming dengan menjemput kohai (junior) pelajar Malaysia makan di teratak kami. Niat di hati ingin membuat jamuan seawal yang mungkin setelah ketibaan kami di Ehime ini tetapi masa yang sesuai tidak dijumpai. Takdir Allah SWT, jamuan tersebut sama dengan tarikh hari jadi saya..alhamdulillah. Kiranya, sambil menyelam minum air..hehe. Menu pada hari tersebut adalah ala-ala Timur campur Barat; olio spaghetti, tandoori chicken, bergedel, baked potato, keropok ubi kayu, salad, donuts dan vanilla banana pudding. Alhamdulillah yang hadir dalam 12 orang dan makanan habis licin.







Setelah semua tetamu pulang, isteri tersayang pula membuat kejutan. Sepotong kek hari jadi telah disediakan untuk suami tersayang.. ;)



Kemudian seperti biasa hari Rabu dan Jumaat, isteri menyediakan Bento Rabu dan Benro Jumaat kepada Muslim di sini yang memesan untuk hidangan tengah hari mereka. Alhamdulillah, sambutan setiap minggu amat menggalakkan. Terima kasih semua..hehe

Sebenarnya, hari Ahad lepas adalah hari yang agak bersejarah bagi saya. Ucap Alhamdulillah dulu..hehe. Buat pertama kalinya, sebuah akhbar terkenal di Jepun, Yomiuri Shinbum telah mengeluarkan laporan berkenaan saya dan juga lab. Wartawan Yomiuri telah menemu ramah sensei (supervisor) saya, saya dan seorang lagi pelajar kedoktoran pada 18 Jun lalu di Ehime University. Temu ramah dan laporan berkenaan berkisar mengenai bidang penyelidikan di lab tersebut dan bidang penyelidikan saya sendiri. Sebenarnya, bidang penyelidikan di lab saya amat ninki (popular) kerana Prof Shinfuku Nomura, sensei saya adalah orang yang berjaya menghasilkan plasma di dalam cecair di dunia.



Plasma secara ringkas adalah keadaan selepas keadaan gas. Kita telah mempelajari semasa Tingkatan 5 di mana, hanya 3 keadaan sahaja yang wujud iaitu, pepejal, cecair dan gas. Plasma adalah keadaan yang ke-4. Temu ramah dijalankan dalam dwi-bahasa; Jepun dan English. Peristiwa ini sudah tentu amat menggembirakan saya dan isteri dan ini juga adalah salah satu cabaran untuk saya supaya lebih bekerja keras untuk menimba ilmu di lab ini, menyampaikan ilmu dan membuktikan sesuatu yang terbaik untuk sensei dan kepada semua. InsyaAllah dengan berkat doa ibu bapa, isteri dan keluarga..saya akan berusaha sebaik mungkin di sini. Mohon rakan-rakan yang membaca Hanania Haninda Aulia doakan kejayaan saya ini.

Semoga ilmu dan teknologi yang dipelajari di sini dapat dibawa pulang ke Malaysia dan disampaikan kepada seluruh manusia untuk kebaikan semua.

Jazakallahu

June 23, 2013

Fuji-san Tapak Warisan Dunia

Khabar gembira untuk seluruh rakyat Jepun.....

Hari ini seluruh Jepun terutama di televisyen dan surat khabar meraikan penerimaan Fuji-san (Mount Fuji) sebagai salah satu daripada Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Pengumuman ini dibuat semalam di Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO Sesi ke-37, Phonm Penh, Kemboja. Penerimaan ini bermakna di Jepun sebanyak 17 tempat telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia atau Sekai isan di dalam bahasa Jepun.

Fuji-san yang terletak di Provinsi Shizuoka dan Yamagata merupakan gunung tertinggi di Jepun. Ketinggiannya adalah 3776m. Pemandangan yang indah mengamit pendaki untuk sampai ke puncak. 

Rajah 1 Fuji-san

Kawasan diiktiraf yang juga merangkumi Fuji-san adalah Fuji Five Lakes (Fujigoko), Oshinohakkai - Kolam 8 di Oshino, Fujisan Sengen Taisha - Shrine Fujisan Sengen.

 Rajah 2 Fujisan Sengen Taisha

 Rajah 3 Oshino Hakkai

  Rajah 4 Fuji Goko - Lake Kawaguchiko

Selain Fuji-san, 16 tempat yang diisytiharkan sebagai Sekai isan adalah Shiretoko, Hokkaido; Shirakami Sanchi, Akita & Aomori; Shrines and Temples Nikko, Tochigi; Historic Village of Shirakawa-go and Gokayam, Gifu & Toyama; Historic Monuments of Ancient Kyoto, Kyoto & Shiga; Historic Monuments of Ancient Nara, Nara; Buddhist Monument in the Horyu-ji, Nara; Pilgrimage Routes in the Kii Mountain, Nara; Himeji-jo, Hyogo; Hiroshima Peace Memorial, Hiroshima; Itsukushima Shinto Shrine, Hiroshima; Yakushima, Kagoshima; Ogasawara Islands; Iwami Ginzan Silver Mine, Shimane; Gasuku Sites and Related Properties of the Kingdom of Ryukyu, Okinawa

Banyak tempat yang kita boleh lawat di sini. Semua tapak ini adalah anugerah Allah untuk kita semua hargai dan menjaganya.

Di Malaysia, kita juga amat bertuah kerana kita ada
a. Taman Negara Mulu, Sarawak
b. Taman Kinabalu, Sabah
c. Melaka & Georgetown
d. Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, Perak

Rajah 5 Lembah Lenggong

Rajah 6 Gunung Kinabalu

Sama-sama kita menikmati anugerah terindah Allah SWT...

Selamat Menjelajah Malaysia & Jepun....