AKTIVITI

Kisah Obento...

Sebelum saya berkongsi lebih lanjut aktiviti saya pada setiap Jumaat, mari kita baca sedikit serba ringkas apakah itu obento atau dengan bahasa santai bento.

Bento (lunch box) adalah salah satu daripada budaya tradisional orang Jepun masih kekal hingga sekarang. Ia dikatakan bermula sejak Era Heian (794-1185). Pada zaman itu, nasi yang telah dimasak dibungkus dan dibawa ke majlis-majlis mendengar sajak ala-ala Jepun. Secara amnya, di dalam bento terdapat separuh gohan (nasi) dan okazu (lauk). Okazu (lauk) yang terdapat di dalam bento adalah seperti  ikan atau daging goreng atau bakar, sayur yang dimasak atau sayur jeruk, tamago yaki (telur goreng) dan disusun atur cantik di dalam bekas yang mempunyai beberapa ruang. Bekas tersebut pula diperbuat daripada bekas makanan pakai buang sehingga ke bekas makanan tradisional.

Rajah 1 Bento orang Jepun

Orang Jepun gemar membawa bento ke mana-mana mereka pergi jika terdapat aktiviti di luar rumah sebagai bekal mereka di luar. Bagi suri rumah Jepun, kebiasaanya mereka akan menyiapkan bento pada awal pagi untuk anak-anak ke sekolah, suami ke tempat kerja malah juga untuk mereka sendiri di rumah.

Terdapat berbagai jenis bento yang popular seperti kyaraben (character bento), noribentosakebentohayabento, ekibento dan macam-macam lagi. Noribento adalah nasi yang dikepal kemudian dibalut dengan nori (seedweed) dan dicicah dengan shoyu (kicap soya). Ia adalah bento yang paling ringkas. Sakebento adalah bento di mana ikan sake (chum salmon) sebagai menu utama. Hayabento atau disebut early bento pula khas untuk dimakan sebelum makan tengah hari dan ekibento adalah bento yang sering terdapat dan dijual di eki (stesen keretapi) untuk pengguna densha (keretapi). Sementara itu, kyaraben adalah bento yang agak unik di mana hidangan di dalam bento itu dihias seolah-olah karektor anime atau game

Rajah 2 Bento Hello Kitty 

Itu adalah serba ringkas apa itu bento.

Sebenarnya saya ingin berkongsi berkenaan aktiviti saya setiap Jumaat di sini. Pengalaman saya yang pernah bermastautin di Jepun pada 2004-2008 dikongsi bersama isteri untuk menyediakan dan menjual bento kepada pelajar-pelajar Malaysia dan pelajar Muslim dari negara-negara lain. Sehari atau dua hari sebelum penyedian bento, kami akan berbincang bersama berkenaan menu untuk bento tersebut. Kebiasaanya kami akan menyediakan menu nasi seperti nasi ayam, nasi tomato, nasi hujan panas dan lain-lain. Kami memberi nama Bento Jumaat. Kami menyediakan bento 2 kali seminggu iaitu Bento Rabu dan Bento Jumaat.

Rajah 1 Bento Jumaat
Sehari sebelumnya, kami akan membuat pengumuman di Facebook pelajar Malaysia dan komuniti Muslim di sini berkenaan menu bagi Bento Jumaat dan mengambil tempahan sehingga jam 12 tengah malam. Pada paginya, kami akan sama-sama menyediakan bento mengikut tempahan dan menyediakan lebihan 2 bento jika ada yang menginginkan tetapi tidak sempat untuk membuat tempahan. Saya akan ke dai (singkatan nama untuk daigaku - universiti) setelah membantu isteri dan kemudian akan pulang semula ke rumah  untuk mengambil bento-bento tersebut



Rajah 2 Bento nasi tomato dan ayam masak merah

Bento-bento tersebut akan di bawa ke tempat solat Jumaat untuk diedarkan kepada mereka yang telah membuat tempahan manakala isteri akan ke dai untuk menghantar kepada pelajar-pelajar perempuan. Ada juga pelajar perempuan yang datang singgah ke rumah untuk mengambil sebelum mereka ke dai. Alhamdulillah setelah 4 minggu, kami amat bersyukur kerana mendapat sokongan pelajar-pelajar di sini. Bagi kami, ini adalah salah satu kerja fardu kifayah dalam penyediaan makanan halal di sini. Sememangnya di Jepun terutama sekali di Ehime, makanan halal agak sukar untuk diperoleh. Semoga kerja kami ini mendapat balasan redha Allah di kemudian hari nanti. InsyaAllah...

Rajah 3 Nasi putih dan ayam masak merah

Rajah 4 Penghantaran bento


 Rajah 5 Nasi tomato dan ayam masak kurma


                                                                                  Rajah 6 Nasi ayam dan ayam teriyaki


Rajah 7 Nasi hujan panas 

Rajah 8 Nasi putih dan ayam black pepper

Saya amat berterima kasih kepada senpai (senior) Ustaz kerana idea menyediakan bento ini datang daripada beliau. Ketika 2006-2008, atas inisiatif beliau dan isteri, mereka menyediakan bento kepada pelajar-pelajar Muslim pada setiap hari Jumaat sebelum solat Jumaat. Kami pada waktu itu amat merindukan masakan Malaysia. Al-maklumlah, masakan orang yang berkeluarga amat berbeza dengan masakan bujang seperti saya dulu ditambah berada jauh di perantauan. Syukran...alhamdulillah.

Jazakallahu....

No comments:

Post a Comment