Alhamdulillah, hari ini bermulanya saya menulis sedikit perkongsian di jurnal Hanania Haninda Aulia.
Di Ehime, cuaca agak dingin beserta hujan seharian daripada awal pagi tadi. Selalunya hujan di sini tidak seperti di Malaysia, lebat dan beterusan untuk 1 hingga 2 jam sahaja. Mungkin boleh jadi berjam-jam jika musim tengkujuh. Sebaliknya di Jepun, kebiasaanya hujan tidak selebat Malaysia dan sememangnya tidak ada kaminari (kilat / petir). Di sini hujan akan turun dengan kadar purata 2-4mm/h.
Rajah 1 Langit mendung, hujan mencurah-curah
Tetapi hari ini, bukan sekadar hujan biasa. Kadar hujan yang dicatatkan pada 6 pagi tadi adalah 18mm/h dan ramalan esok pukul 12 tengah hari adalah 9mm/h. Menurut laporan kaji cuaca Jepun; ketepatan laporan adalah 95-99% tepat, Taufan No 4 atau dengan nama saintifiknya Leepi dengan kelajuan 30km/h dan tekanan pusat 994hPa mula bergerak ke arah utara daripada tempat asalnya Laut China Timur. Ia akan membawa angin kuat dan hujan lebat.
Rajah 2 Suasana mendung dan hujat lebat di Ehime.
Ketika petikan ini ditulis, pukul 830 malam waktu tempatan, Leepi berada di selatan Pulau Kyushu dan dijangka pada esok hari pukul 6 pagi ia akan mula merempuh pulau tersebut dan seterusnya dengan kelajuan yang meningkat akan ke Pulau Shikoku sekitar 6 petang di mana kami berada.
Rajah 3 Pergerakan Taufan No 4 (Leepi)
Ini telah menjadi lumrah di Jepun di mana bermula penghujung musim bunga, taufan semakin banyak dan akan melanda kepulauan ini. Setiap hari, orang Jepun termasuk juga kami akan sentiasa merujuk Tenki Jyohou (ramalan cuaca) sama ada di sumatofon (smartphone) yang telah dimuat turun aplikasi Tenki Jyohou, televisyen atau di laman web weather.yahoo.jp.cp untuk menyusun atur aktiviti-aktiviti untuk sepanjang hari. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, ketepatan ramalan adalah 95-99%. Tetapi sebenarnya ia hanya ramalan, kerana semua yang berlaku adalah qada' dan qadar Allah SWT. Kita merancang Allah SWT yang menentukan akhirnya.
Jazakallahu....
No comments:
Post a Comment