June 30, 2013

Yomiuri Shinbun

Assalamualaikum wrt. wbt.

Lama saya tidak mengemaskini jurnal ini. Kesibukan di lab sepanjang minggu lalu sedikit sebanyak menyekat pergerakan saya untuk berkongsi cerita dengan rakan-rakan. Sebenarnya banyak juga aktiviti yang saya dan isteri lalui dari hari Ahad minggu lepas sehingga semalam.

Pada hari Isnin yang lalu, kami mengadakan jamuan house warming dengan menjemput kohai (junior) pelajar Malaysia makan di teratak kami. Niat di hati ingin membuat jamuan seawal yang mungkin setelah ketibaan kami di Ehime ini tetapi masa yang sesuai tidak dijumpai. Takdir Allah SWT, jamuan tersebut sama dengan tarikh hari jadi saya..alhamdulillah. Kiranya, sambil menyelam minum air..hehe. Menu pada hari tersebut adalah ala-ala Timur campur Barat; olio spaghetti, tandoori chicken, bergedel, baked potato, keropok ubi kayu, salad, donuts dan vanilla banana pudding. Alhamdulillah yang hadir dalam 12 orang dan makanan habis licin.







Setelah semua tetamu pulang, isteri tersayang pula membuat kejutan. Sepotong kek hari jadi telah disediakan untuk suami tersayang.. ;)



Kemudian seperti biasa hari Rabu dan Jumaat, isteri menyediakan Bento Rabu dan Benro Jumaat kepada Muslim di sini yang memesan untuk hidangan tengah hari mereka. Alhamdulillah, sambutan setiap minggu amat menggalakkan. Terima kasih semua..hehe

Sebenarnya, hari Ahad lepas adalah hari yang agak bersejarah bagi saya. Ucap Alhamdulillah dulu..hehe. Buat pertama kalinya, sebuah akhbar terkenal di Jepun, Yomiuri Shinbum telah mengeluarkan laporan berkenaan saya dan juga lab. Wartawan Yomiuri telah menemu ramah sensei (supervisor) saya, saya dan seorang lagi pelajar kedoktoran pada 18 Jun lalu di Ehime University. Temu ramah dan laporan berkenaan berkisar mengenai bidang penyelidikan di lab tersebut dan bidang penyelidikan saya sendiri. Sebenarnya, bidang penyelidikan di lab saya amat ninki (popular) kerana Prof Shinfuku Nomura, sensei saya adalah orang yang berjaya menghasilkan plasma di dalam cecair di dunia.



Plasma secara ringkas adalah keadaan selepas keadaan gas. Kita telah mempelajari semasa Tingkatan 5 di mana, hanya 3 keadaan sahaja yang wujud iaitu, pepejal, cecair dan gas. Plasma adalah keadaan yang ke-4. Temu ramah dijalankan dalam dwi-bahasa; Jepun dan English. Peristiwa ini sudah tentu amat menggembirakan saya dan isteri dan ini juga adalah salah satu cabaran untuk saya supaya lebih bekerja keras untuk menimba ilmu di lab ini, menyampaikan ilmu dan membuktikan sesuatu yang terbaik untuk sensei dan kepada semua. InsyaAllah dengan berkat doa ibu bapa, isteri dan keluarga..saya akan berusaha sebaik mungkin di sini. Mohon rakan-rakan yang membaca Hanania Haninda Aulia doakan kejayaan saya ini.

Semoga ilmu dan teknologi yang dipelajari di sini dapat dibawa pulang ke Malaysia dan disampaikan kepada seluruh manusia untuk kebaikan semua.

Jazakallahu

June 23, 2013

Fuji-san Tapak Warisan Dunia

Khabar gembira untuk seluruh rakyat Jepun.....

Hari ini seluruh Jepun terutama di televisyen dan surat khabar meraikan penerimaan Fuji-san (Mount Fuji) sebagai salah satu daripada Tapak Warisan Dunia oleh UNESCO. Pengumuman ini dibuat semalam di Mesyuarat Jawatankuasa Warisan Dunia UNESCO Sesi ke-37, Phonm Penh, Kemboja. Penerimaan ini bermakna di Jepun sebanyak 17 tempat telah diisytiharkan sebagai Tapak Warisan Dunia atau Sekai isan di dalam bahasa Jepun.

Fuji-san yang terletak di Provinsi Shizuoka dan Yamagata merupakan gunung tertinggi di Jepun. Ketinggiannya adalah 3776m. Pemandangan yang indah mengamit pendaki untuk sampai ke puncak. 

Rajah 1 Fuji-san

Kawasan diiktiraf yang juga merangkumi Fuji-san adalah Fuji Five Lakes (Fujigoko), Oshinohakkai - Kolam 8 di Oshino, Fujisan Sengen Taisha - Shrine Fujisan Sengen.

 Rajah 2 Fujisan Sengen Taisha

 Rajah 3 Oshino Hakkai

  Rajah 4 Fuji Goko - Lake Kawaguchiko

Selain Fuji-san, 16 tempat yang diisytiharkan sebagai Sekai isan adalah Shiretoko, Hokkaido; Shirakami Sanchi, Akita & Aomori; Shrines and Temples Nikko, Tochigi; Historic Village of Shirakawa-go and Gokayam, Gifu & Toyama; Historic Monuments of Ancient Kyoto, Kyoto & Shiga; Historic Monuments of Ancient Nara, Nara; Buddhist Monument in the Horyu-ji, Nara; Pilgrimage Routes in the Kii Mountain, Nara; Himeji-jo, Hyogo; Hiroshima Peace Memorial, Hiroshima; Itsukushima Shinto Shrine, Hiroshima; Yakushima, Kagoshima; Ogasawara Islands; Iwami Ginzan Silver Mine, Shimane; Gasuku Sites and Related Properties of the Kingdom of Ryukyu, Okinawa

Banyak tempat yang kita boleh lawat di sini. Semua tapak ini adalah anugerah Allah untuk kita semua hargai dan menjaganya.

Di Malaysia, kita juga amat bertuah kerana kita ada
a. Taman Negara Mulu, Sarawak
b. Taman Kinabalu, Sabah
c. Melaka & Georgetown
d. Warisan Arkeologi Lembah Lenggong, Perak

Rajah 5 Lembah Lenggong

Rajah 6 Gunung Kinabalu

Sama-sama kita menikmati anugerah terindah Allah SWT...

Selamat Menjelajah Malaysia & Jepun....

June 22, 2013

Obento

Kisah Obento...

Sebelum saya berkongsi lebih lanjut aktiviti saya pada setiap Jumaat, mari kita baca sedikit serba ringkas apakah itu obento atau dengan bahasa santai bento.

Bento (lunch box) adalah salah satu daripada budaya tradisional orang Jepun masih kekal hingga sekarang. Ia dikatakan bermula sejak Era Heian (794-1185). Pada zaman itu, nasi yang telah dimasak dibungkus dan dibawa ke majlis-majlis mendengar sajak ala-ala Jepun. Secara amnya, di dalam bento terdapat separuh gohan (nasi) dan okazu (lauk). Okazu (lauk) yang terdapat di dalam bento adalah seperti  ikan atau daging goreng atau bakar, sayur yang dimasak atau sayur jeruk, tamago yaki (telur goreng) dan disusun atur cantik di dalam bekas yang mempunyai beberapa ruang. Bekas tersebut pula diperbuat daripada bekas makanan pakai buang sehingga ke bekas makanan tradisional.

Rajah 1 Bento orang Jepun

Orang Jepun gemar membawa bento ke mana-mana mereka pergi jika terdapat aktiviti di luar rumah sebagai bekal mereka di luar. Bagi suri rumah Jepun, kebiasaanya mereka akan menyiapkan bento pada awal pagi untuk anak-anak ke sekolah, suami ke tempat kerja malah juga untuk mereka sendiri di rumah.

Terdapat berbagai jenis bento yang popular seperti kyaraben (character bento), noribento, sakebento, hayabento, ekibento dan macam-macam lagi. Noribento adalah nasi yang dikepal kemudian dibalut dengan nori (seedweed) dan dicicah dengan shoyu (kicap soya). Ia adalah bento yang paling ringkas. Sakebento adalah bento di mana ikan sake (chum salmon) sebagai menu utama. Hayabento atau disebut early bento pula khas untuk dimakan sebelum makan tengah hari dan ekibento adalah bento yang sering terdapat dan dijual di eki (stesen keretapi) untuk pengguna densha (keretapi). Sementara itu, kyaraben adalah bento yang agak unik di mana hidangan di dalam bento itu dihias seolah-olah karektor anime atau game

Rajah 2 Bento Hello Kitty 

Itu adalah serba ringkas apa itu bento.

Sebenarnya saya ingin berkongsi berkenaan aktiviti saya setiap Jumaat di sini. Pengalaman saya yang pernah bermastautin di Jepun pada 2004-2008 dikongsi bersama isteri untuk menyediakan dan menjual bento kepada pelajar-pelajar Malaysia dan pelajar Muslim dari negara-negara lain. Sehari atau dua hari sebelum penyedian bento, kami akan berbincang bersama berkenaan menu untuk bento tersebut. Kebiasaanya kami akan menyediakan menu nasi seperti nasi ayam, nasi tomato, nasi hujan panas dan lain-lain. Kami memberi nama Bento Jumaat. Kami menyediakan bento 2 kali seminggu iaitu Bento Rabu dan Bento Jumaat.

Rajah 1 Bento Jumaat
Sehari sebelumnya, kami akan membuat pengumuman di Facebook pelajar Malaysia dan komuniti Muslim di sini berkenaan menu bagi Bento Jumaat dan mengambil tempahan sehingga jam 12 tengah malam. Pada paginya, kami akan sama-sama menyediakan bento mengikut tempahan dan menyediakan lebihan 2 bento jika ada yang menginginkan tetapi tidak sempat untuk membuat tempahan. Saya akan ke dai (singkatan nama untuk daigaku - universiti) setelah membantu isteri dan kemudian akan pulang semula ke rumah untuk mengambil bento-bento tersebut



Rajah 2 Bento nasi tomato dan ayam masak merah

Bento-bento tersebut akan di bawa ke tempat solat Jumaat untuk diedarkan kepada mereka yang telah membuat tempahan manakala isteri akan ke dai untuk menghantar kepada pelajar-pelajar perempuan. Ada juga pelajar perempuan yang datang singgah ke rumah untuk mengambil sebelum mereka ke dai. Alhamdulillah setelah 4 minggu, kami amat bersyukur kerana mendapat sokongan pelajar-pelajar di sini. Bagi kami, ini adalah salah satu kerja fardu kifayah dalam penyediaan makanan halal di sini. Sememangnya di Jepun terutama sekali di Ehime, makanan halal agak sukar untuk diperoleh. Semoga kerja kami ini mendapat balasan redha Allah di kemudian hari nanti. InsyaAllah...

Rajah 3 Nasi putih dan ayam masak merah

Rajah 4 Penghantaran bento


 Rajah 5 Nasi tomato dan ayam masak kurma


                                                                                  Rajah 6 Nasi ayam dan ayam teriyaki


Rajah 7 Nasi hujan panas 

Rajah 8 Nasi putih dan ayam black pepper

Saya amat berterima kasih kepada senpai (senior) Ustaz kerana idea menyediakan bento ini datang daripada beliau. Ketika 2006-2008, atas inisiatif beliau dan isteri, mereka menyediakan bento kepada pelajar-pelajar Muslim pada setiap hari Jumaat sebelum solat Jumaat. Kami pada waktu itu amat merindukan masakan Malaysia. Al-maklumlah, masakan orang yang berkeluarga amat berbeza dengan masakan bujang seperti saya dulu ditambah berada jauh di perantauan. Syukran...alhamdulillah.

Jazakallahu....


June 20, 2013

Taufan No 4

Alhamdulillah, hari ini bermulanya saya menulis sedikit perkongsian di jurnal Hanania Haninda Aulia.

Di Ehime, cuaca agak dingin beserta hujan seharian daripada awal pagi tadi. Selalunya hujan di sini tidak seperti di Malaysia, lebat dan beterusan untuk 1 hingga 2 jam sahaja. Mungkin boleh jadi berjam-jam jika musim tengkujuh. Sebaliknya di Jepun, kebiasaanya hujan tidak selebat Malaysia dan sememangnya tidak ada kaminari (kilat / petir). Di sini hujan akan turun dengan kadar purata 2-4mm/h.

Rajah 1 Langit mendung, hujan mencurah-curah 

Tetapi hari ini, bukan sekadar hujan biasa. Kadar hujan yang dicatatkan pada 6 pagi tadi adalah 18mm/h dan ramalan esok pukul 12 tengah hari adalah 9mm/h. Menurut laporan kaji cuaca Jepun; ketepatan laporan adalah 95-99% tepat, Taufan No 4 atau dengan nama saintifiknya Leepi dengan kelajuan 30km/h dan tekanan pusat 994hPa mula bergerak ke arah utara daripada tempat asalnya Laut China Timur. Ia akan membawa angin kuat dan hujan lebat. 

Rajah 2 Suasana mendung dan hujat lebat di Ehime.

Ketika petikan ini ditulis, pukul 830 malam waktu tempatan, Leepi berada di selatan Pulau Kyushu dan dijangka pada esok hari pukul 6 pagi ia akan mula merempuh pulau tersebut dan seterusnya dengan kelajuan yang meningkat akan ke Pulau Shikoku sekitar 6 petang di mana kami berada.

Rajah 3 Pergerakan Taufan No 4 (Leepi)

Ini telah menjadi lumrah di Jepun di mana bermula penghujung musim bunga, taufan semakin banyak dan akan melanda kepulauan ini. Setiap hari, orang Jepun termasuk juga kami akan sentiasa merujuk Tenki Jyohou (ramalan cuaca) sama ada di sumatofon (smartphone) yang telah dimuat turun aplikasi Tenki Jyohou, televisyen atau di laman web weather.yahoo.jp.cp untuk menyusun atur aktiviti-aktiviti untuk sepanjang hari. Seperti yang telah dijelaskan sebelum ini, ketepatan ramalan adalah 95-99%. Tetapi sebenarnya ia hanya ramalan, kerana semua yang berlaku adalah qada' dan qadar Allah SWT. Kita merancang Allah SWT yang menentukan akhirnya.

Jazakallahu....